Hujung usia Tribhuwana_Wijayatunggadewi

Pemerintahan Tribhuwana berakhir apabila bondanya Gayatri Rajapatni mangkat semasa persaraan dalam biara agama Buddha pada tahun 1350. Oleh kerana beliau memerintah Majapahit di bawah naungan bonda Rajapatni untuk mewakilinya, Ratu Tribhuwana harus melepaskan kuasanya, dan kena turunkan takhta kepada anakanda beliau. Selepas penurunan dari takhta, Tribhuwana tidak bersara terus, sebaliknya beliau masih lagi terlibat dalam hal ehwal negara. Semasa pemerintahan anakanda beliau, Raja Hayam Wuruk, beliau dilantik semula buat kali kedua sebagai Bhre Kahuripan, pemerintah negeri persisiran Kahuripan, yang merupakan pelabuhan utama Majapahit masa itu. Beliau juga menjadi ahli Bhattara Saptaprabhu (Tujuh Raja Hebat[4]), sebuah majlis orang-orang tua diraja yang menjadi penasihat raja.

Tribhuwana mangkat dalam kediaman persaraan di Majapahit. Sebuah upacara pembakaran mayat diraja dilaksanakan, seperti diajar dalam agama Hindu. Beliau didewikan sebagai Parvati di kuil Rimbi, Jawa Timur. Dalam fahaman dewaraja Jawa, pemerintah mereka dipercayai merupakan jelmaan sesuatu dewa, dan selepas mangkat jiwa mereka akan bertemu semula dengan dewa itu, dan dihormati sewajarnya di kuil pengebumian, ditujukan khas kepada si mati itu.